BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, February 22, 2010

bentuk komunikasi yg berkesan antara suami dan isteri


Pengenalan

Komunikasi adalah suatu proses penyampaian informasi dari satu pihak kepada pihak lain agar terjadi saling mempengaruhi diantara keduanya. Pada umumnya, komunikasi dilakukan dengan menggunakan kata-kata (lisan) yang dapat dimengerti oleh kedua belah pihak. Apabila tidak ada bahasa verbal yang dapat dimengerti oleh keduanya, komunikasi masih dapat dilakukan dengan menggunakan gerak-gerik badan, menunjukkan sikap tertentu, misalnya tersenyum, menggelengkan kepala, mengangkat bahu. Cara seperti ini disebut komunikasi dengan bahasa nonverbal.Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan disini bahawa komunikasi merupakan proses penyampaian maklumat dari seseorang kepada seseorang yang lain dengan apa cara sekalipun asalkan maklumat yang ingin disampaikan itu difahami oleh pihak yang lain.

Komunikasi dalam rumahtangga merupakan satu perkara yang amat penting dalam mewujudkan suasana yang harmoni dan bahagia dalam sesebuah keluarga. Hal ini demikian kerana, melalui komunikasi yang berkesan, pelbagai perkara yang tidak di ingini didalam pembinaan sebuah keluarga yang harmoni dapat dielakkan seperti pertengkaran, perbalahan yang akhirnya boleh menyebabkan penceraian dan meruntuhkan sesebuah instituti kekeluargaan tersebut.

Komunikasi yang berkesan dalam rumahtangga memerlukan kerjasama dari kedua-dua belah pihak, suami dan isteri. Suami sebagai pemimpin di dalam sesebuah keluarga manakala isteri merupakan pembantu yang akan sentiasa disamping suami bagi membantu menguruskan hal-hal rumahtangga. Sebagaimana firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 34

“ Kaum lelaki itu adalah pengurus dan pemimpin ke atas kaum perempuan”

Komunikasi juga merupakan salah satu perkara yang boleh mewujudkan kemesraan diantara suami dan isteri. Di dalam kehidupan seharian kita, komunikasi di dalam sesebuah keluarga ini dapat dibahagikan kepada dua jenis dan bentuk komunikasi iaitu komunikasi secara lisan dan komunikasi yang berbentuk bukan lisan.

3.0 Komunikasi menurut perspektif Islam

3.0.1 Komunikasi berdasarkan Al-Quran

Komunikasi Secara Lisan

Bermesraan adalah salah satu cara suami isteri untuk menunjukkan perasaan saling kasih mengasihani dalam bentuk lisan.Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ar-Rum ayat 21

“ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kamu (suami isteri)perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Berdasarkan ayat tersebut, Allah menegaskan kemesraan hidup antara suami isteri harus dilaksanakan mewujudkan sebuah keluarga yang mahabbah mawaddah sekaligus memberikan kesenangan hati dan ketenteraman jiwa kepada setiap pasangan. Selain itu, suami haruslah memberikan pujian serta tunjuk ajar dengan cara yang lemah lembut serta berhikmah kepada isterinya dan isteri haruslah patuh, tunduk serta taat kepada arahan dan tunjuk ajar suaminya selagi ianya tidak bertentangan dengan kehendak syara. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan ganjaran yang besar kepada isteri yang patuh dan taat kepada suaminya. Hal ini demikian kerana, peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia memerlukan perlindungan dan suami adalah orang yang dapat memberikan keyakinan tersebut kepada isterinya.

Selain itu seorang suami juga haruslah bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik dari segi pertuturan, perbuatan mahupun tindakan. Ini juga merupakan salah satu bentuk komunikasi antara suami mahupun isteri yang amat berkesan bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni. Berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 19

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik”

Dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni, komunikasi secara lisan semata-mata belumlah benar-benar berkesan jika tidak disertakan dengan komunikasi dalam bentuk bukan lisan.

3.0.2 Komunikasi berdasarkan As-Sunnah Komunikasi Secara Bukan Lisan

Sentuhan tangan dan gerak tubuh badan adalah termasuk dalam lambang komunikasi bukan lisan ketika suami berkomunikasi dengan isterinya.

Rasullullah juga turut merasakan pentingnya bermesraan bersama isteri. Bahasa cinta Rasullullah kepada isterinya banyak digambarkan dalam bentuk bukan lisan sehingga baginda mengamalkannya dalam kehidupan seharian baginda. Sebagai contoh, baginda Rasullullah S.A.W mengamalkan mandi bersama isteri baginda. Perkara ini dibuktikan melalui riwayat daripada Aisyah, beliau berkata: “ Aku biasa bermandi bersama dengan Nabi didalam satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana).”

( Hadis riwayat ‘Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Selain itu, baginda juga mengamalkan tidur di pangkuan isteri bagi melambangkan perasaan cinta dan kasih baginda terhadap isterinya. Berdasarkan riwayat daripada Aisyah, beliau berkata: “ Nabi biasa meletakkan kepalanya pada pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca Al-Quran”

( Hadis riwayat ‘Abdurrazaq)

Rasullullah juga bijak dalam mengawal kemarahan isteri baginda dengan cara yang mesra. Perkara ini amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang aman dan bahagia. Jika kemarahan tidak dibendung, hal ini boleh membawa kepada keretakan sesebuah institusi kekeluargaan dan akhirnya membawa kepada perceraian. Walaupun penceraian itu halal, namun ia merupakan perkara yang dibenci oleh Allah. Seperti sabda Rasullullah

“ Perbuatan halal yang amat dibenci Allah ialah talak”

( Hadis riwayat Abu Dawud dan Ibnu Hibban)

Dalam menangani kemarahan isteri baginda, Rasullullah biasa memicit hidung Aisyah jika beliau marah dan baginda bersabda: “Wahai ‘Uwaisy bacalah doa: ‘Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku, dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan”

(Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

Baginda Rasullullah juga mengamalkan bentuk komunikasi secara bukan lisan dengan membelai isteri baginda. Berdasarkan riwayat, “ Adalah Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami dengan tidak mencampuri hingga beliau singgah ke tempat isteri yang beliau giliri pada waktunya, lalu baginda bermalam di tempatnya.”

( Hadis Riwayat Ahmad)

Aplikasi komunikasi menurut Islam kearah kebahagiaan rumahtangga

Berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah diatas, maka jelaslah kepada kita bahawa komunikasi yang baik antara suami dan isteri amat penting bagi memelihara kerukunan rumahtangga. Seorang suami memberikan sepenuh perhatian serta mencurahkan kasih sayang yang sepatutnya terhadap isterinya. Ucapan kata-kata yang indah yang penuh dengan kasih sayang serta kebijaksanaan seorang suami mengawal kemarahan seorang isteri adalah penting bagi memelihara sesebuah rumahtangga itu. Selalu memberikan pujian sebagai tanda penghargaan kepada seorang isteri yang bertukus-lumus menguruskan hal rumahtangga mampu membahagiakan hati seseorang isteri itu. Sebagaimana Rasullullah mengambil langkah yang bijak untuk mengendalikan kemarahan isterinya, begitu jugalah seharusnya setiap pasangan suami isteri harus mengendalikan perkara tersebut. Seorang isteri juga haruslah tunduk dan patuh kepada arahan suami selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Merendahkan nada suara ketika bercakap,serta bercakap dengan suami dengan penuh perasaan kasih dan sayang mampu menyenangkan hati seseorang yang bergelar suami. Sikap saling tolong menolong serta memahami di antara satu sama lain amat diperlukan di dalam sesebuah rumahtangga.

Kesimpulan

Komunikasi merupakan satu aspek yang amat ditekankan oleh baginda Rasullullah kepada umatnya dalam membentuk keharmonian dalam sesebuah rumahtangga tersebut. Sesungguhnya Islam secara jelas dan terus terang mengungkapkan bagaimana pentingnya komunikasi dalam hubungan suami dan isteri yang akhirnya akan mewujudkan satu hubungan yang mesra. Hubungan mesra antara suami dan isteri adalah sebahagian dari kepentingan manusia, walaupun pada prinsipnya ia bukanlah merupakan tujuan utama kehidupan. Hubungan mesra antara suami isteri merupakan asas untuk membina keluarga dan menumbuhkan kekuatan Islam sekaligus menyusun gerak dan perkembangan masyarakat secara terus menerus untuk mewujudkan kehendak Allah yang agung dalam memakmurkan muka bumi Allah ini.


0 comments: